Pengetahuan tentang Allah terlalu sukar bagi keupayaan yang ada pada akal dan diri untuk mengerti, melainkan sekadar pengakuan bahawa Dia wujud dan suci. Akal yang waras mengakui bahawa Allah berlainan daripada apa yang dikatakan tentang-Nya, baik dalam bentuk nyata atau khayalan, dalam apa juga anasir atau apa saja. Khayalan tidak sampai kepada kebenaran tentang-Nya. Ungkapan juga tidak mampu menerangkan hal-Nya seperti menerangkan tentang makhluk. Iainya digunakan itu hanyalah untuk memudahkan pendengar memahami akan keteguhan wujud menurut apa yang mampu diterima oleh pendengar, bukan untuk mengemukakan yang sebenarnya tentang Yang Haq. Allah berfirman,
“Tiada sesuatu menyerupai-Nya” (47:19).
Walau bagaimanapun, mengenal Allah adalah fardu bagi kita menurut peraturan Syariat kerana Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w,
“Ketahuilah, bahawa tiada Tuhan melainkan Allah” (47:19).
Dia mengatakan, “Kenalilah Aku melalui perkhabaran daripada-Ku, yang harmoni dengan renungan kamu supaya kepercayaanmu akan melahirkan pengetahuan yang benar, seperti boleh jadi benarnya pengetahuan yang menimbulkan tidak percaya yang datang melalui kepastian”. Jadi, keadaannya adalah demikian.
Oleh kerana sebahagian orang berpandangan dan berpendapat demikian, kita renungkan tentangnya untuk melihat bagaimana makrifat mengenai-Nya boleh dicapai. Kita kaji secara adil dan munasabah. Akal yang sempurna tidak berupaya mencapainya melalui usaha dan ikhtiar yang gigih. Kita hanya mencapai kepada makrifat mengenai-Nya melalui ketidakupayaan untuk mengenali-Nya. Sesuatu yang wujud yang tidak menyerupai sesuatu dan tidak boleh difikir dan dikhayalkan, bagaimana mungkin akal menguasai perkara ini? Hal ini tidak boleh berlaku sekalipun pengetahuan mengenai kewujudan-Nya diyakini sunguh-sungguh. Kita tahu bahawa Dia wujud dan Esa pada Zat-Nya. Ini adalah pengetahuan yang dituntut daripada kita, bukanlah kita mengetahui hakikat Zat-Nya yang Dia ketahui, yang Dia miliki. Ini adalah pengetahuan tanpa pengetahuan, yang dituntut daripada kita. Dia tidak menyerupai sebarang makhluk dalam pandangan akal, dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya. Ia menjadi fardu kepada kita apabila dikatakan kepada kita, “Ketahuilah tiada Tuhan melainkan Allah” untuk mengetahui apakah pengetahuan itu. Kita mempelajarinya dan kita mempelajari apa yang mula-mula difardukan kepada kita untuk mengetahui apakah pengetahuan itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar